Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada Istilah Perasmian Pembukaan Dan Penutup

Tiada Istilah Perasmian Pembukaan Dan Penutup

KUALA LUMPUR, Tiada istilah perasmian pembukaan dan penutup bagi Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) pada Jumaat depan.

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata yang ada hanya satu majlis perasmian saja iaitu Perasmian Kongres AMK yang dijadualkan akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 6 Disember.

Beliau menegaskan, jika terdapat majlis selain daripada yang diputuskan dalam Mesyuarat Rasmi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), ia bukan majlis rasmi AMK.

“Saya memandang serius tindakan segelintir pihak yang secara berterusan sengaja mengelirukan akar umbi dengan menyalurkan maklumat yang salah berkaitan Kongres AMK 2019.

“Tiada istilah perasmian pembukaan dan perasmian penutup bagi Kongres AMK 2019 yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini di MiTC Melaka.

“Seperti mana yang diumumkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, (Timbalan Presiden) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan Kongres Wanita manakala Dr Wan Azizah akan merasmikan Kongres AMK,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekiranya pihak berkenaan berniat untuk berterusan melanggar saluran rasmi parti, Syed Badli mencadangkan supaya mereka keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Beliau juga memberi amaran supaya semua pihak perlu berhenti daripada terus mengelirukan akar umbi dengan menggunakan nama AMK tanpa persetujuan daripada Majlis Pimpinan AMK.

“Saya menyeru seluruh akar umbi parti untuk terus bersatu mendukung agenda reformasi dengan menghadiri kongres rasmi seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat,” katanya.

Semalam BH melaporkan, Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham mengesahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu akan merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK Pusat 2019 pada minggu depan.

Muhammad Hilman yang juga Timbalan Ketua AMK dilaporkan berkata, Dr Wan Azizah pula akan merasmikan penutup Kongres Nasional Tahunan AMK Pusat.

Bagaimanapun, kenyataan Muhammad Hilman itu berbeza dengan Fahmi pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, pagi semalam, yang menyatakan PKR sudah memutuskan Kongres Nasional Tahunan Wanita akan dirasmikan oleh Mohamed Azmin manakala Kongres Nasional Tahunan AMK pula dirasmikan Dr Wan Azizah.

Fahmi juga dilaporkan berkata, Mohamed Azmin belum mengesahkan kehadirannya.

Leave a Reply

Top