MH Online

Laman Suara Rakyat

Tiada Had Dalam Pelaporan Sidang Parlimen

Tiada Had Dalam Pelaporan Sidang Parlimen

PUTRAJAYA, Tiada had dalam pelaporan mengenai pembukaan penggal Parlimen pada 18 Mei ini walaupun hanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan itu dibuat bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam situasi negara masih berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

“Tidak bermakna bahawa ada had untuk pelaporan dibuat. Dalam dunia zaman sekarang setiap orang adalah ‘producer’.

“Kementerian tidak terlibat (dalam membuat keputusan itu), tetapi saya tidak fikir ada niat di sebaliknya,” katanya sebagai mengulas gesaan beberapa pihak supaya organisasi media lain turut dibenarkan membuat liputan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lazada Malaysia di sini semalam.

Saifuddin berkata, ahli Dewan Rakyat juga tidak akan duduk seperti biasa bagi mematuhi penjarakan sosial, selain pegawai juga tidak akan masuk ke dalam dewan.

“Ini kerana tempat duduk yang biasa itu tidak mencukupi kerana kita mengamalkan penjarakan sosial, jadi memang ada perkara-perkara yang mempengaruhi mengapa pentadbiran Parlimen membuat keputusan itu.

“Pembukaan sidang juga akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, kehadiran pada hari pembukaan penggal Parlimen itu dihadkan dan hanya media kerajaan seperti RTM dan Bernama dibenarkan hadir.