Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TIA Wujud Selepas Perbincangan Jho Low Dengan YDPA

TIA Wujud Selepas Perbincangan Jho Low Dengan YDPA

KUALA LUMPUR, Konsep Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) wujud berikutan perbincangan di antara ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low bersama Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jho Low dipilih sebagai penasihat kepada Sultan Mizan bagi menentukan hala tuju TIA dalam pembangunan di negeri Terengganu.

Datuk Seri Najib Razak menerusi pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata Jho Low dilihat sebagai kenalan rapat Sultan Mizan dan adiknya, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud.

“Jho Low mempamerkan dirinya sebagai individu yang amat berpengaruh di negara Asia Barat.

“Saya percaya bahawa ahli perniagaan itu mampu dalam mempermudahkan urusan pelaburan kerana negara Asia Barat mempunyai lebihan wang tunai disebabkan kenaikan harga minyak.

“Disebabkan itu saya berfikiran bahawa pengaruh dan jalinan oleh Jho Low sememangnya akan mempermudahkan matlamat dan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang diinginkan,” katanya.

Najib menjelaskan, disebabkan pengaruh Jho Low yang cukup besar itu juga menyebabkan ahli perniagaan itu kekal sebagai penasihat walaupun TIA diambil alih Kerajaan Persekutuan dan ditukarkan kepada 1MDB.

Terdahulu, Najib memberitahu mahkamah, penubuhan 1MDB pada 2009 yang menggantikan TIA turut mengekalkan Lembaga Pengarah yang sama berikutan pengalaman dan kelayakan mereka dalam operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kesemua pengarah TIA yang dibawa masuk ke syarikat 1MDB ialah Tan Sri Ismee Ismail (ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji), Datuk Mohd Bakke Salleh (ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Holdings Bhd), Tan Sri Datuk Azlan Zainol (ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif KWAP) dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TIA.

“Saya tidak nampak sebarang sebab untuk menukar komposisi Lembaga Pengarah kerana mereka sudah pun terbabit dalam operasi syarikat.

“Saya percaya bahawa penubuhan TIA sebelum pengambil alihan itu menetapkan supaya satu Lembaga Penasihat dapat diwujudkan… Saya fikir ini adalah cara yang sangat baik dalam menghimpunkan pemimpin industri untuk memberikan nasihat kepada 1MDB bagi pelaburan dan perniagaan.

“Konsep itu dikekalkan dan Nota bertarikh 28 Julai 2009 diserahkan kepada Kabinet pada 29 Julai 2009 yang mengandungi senarai individu yang dikenalpasti akan menduduki Lembaga Penasihat dan saya dipilih dan dilantik sebagai pengerusi,” katanya.

Najib seterusnya menjelaskan, selepas keputusan dibuat supaya TIA diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dan supaya saham dipegang Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Ahli Lembaga Penasihat memaklumkan mengenai keperluan untuk meminda Memorandum & Artikel Persatuan 1MDB (M&A) yang sedia ada.

“MIB akan melaporkan kepada Perdana Menteri (PM) dan Lembaga Pengarah akan dilantik oleh Pengerusi Lembaga Penasihat… Kesemua perkara itu dicadangkan oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan terbabit.

“Saya tidak nampak apa apa yang luar biasa mengenai perkara ini kerana sebagai seorang Perdana Menteri, saya diberikan kuasa mutlak mengenai perlantikan pengarah di syarikat GLC yang lain seperti Khazanah, Petronas, PNB (Permodalan Nasional Berhad), TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom dan sebagainya.

“Bagaimanapun, M&A 1MDB itu tidak pernah ditunjukkan kepada saya,” katanya yang memberi keterangan dari kandang saksi sebagai saksi pembelaan pertama untuk menjawab tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC.

Leave a Reply

Top