Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TH Umum Alih Konsep Simpanan Pendeposit

TH Umum Alih Konsep Simpanan Pendeposit

KUALA LUMPUR, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan peralihan konsep kontrak simpanan bagi memberi nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH memaklumkan perubahan itu daripada kontrak simpanan ‘Wadiah Yad Dhamanah’ kepada ‘Wakalah’, berkuat kuasa 31 Disember ini, namun tidak menjejaskan apa-apa kemudahan dan manfaat akaun sedia ada.

Menerusi konsep baharu itu, TH menjadi wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan operasi haji. Keuntungan yang dijana setiap tahun akan diagihkan kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan agensi terbabit.

“TH sentiasa berusaha bagi menambahbaik perkhidmatan dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan untuk manfaat pendeposit.

“Antara kelebihan menyimpan di TH adalah simpanan dijamin 100 peratus oleh kerajaan selaras Akta Tabung Haji 1995 selain zakat dibayar bagi pihak pendeposit,” kata agensi berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pendeposit tidak perlu mengisi dokumen baharu dan boleh berurusan seperti biasa di pejabat cawangan TH seluruh negara.

TH turut memaklumkan, dengan mengekalkan deposit bersama agensi itu selepas 31 Disember ini, pendeposit dianggap sudah memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan ‘Wakalah’.

Terma dan syarat akaun TH boleh dirujuk di laman www.tabunghaji.gov.my/wakalah.

Leave a Reply

Top