MH Online

Laman Suara Rakyat

TH Tetap Dibawah BNM

TH Tetap Dibawah BNM

KUALA LUMPUR, Kabinet memutuskan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan kekal menyelia Lembaga Tabung Haji (TH), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ia akan membabitkan pindaan akta bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan berikutan kemelut yang dihadapi agensi itu.

“Saya kira ini adalah keputusan Kabinet dan ia (TH) akan kekal (di bawah seliaan BNM) dan akan dipinda akta untuk meletakkan mereka sebagai penyelia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab celahan dikemukakan Senator Asmak Husin yang ingin tahu sama ada BNM mempunyai tempoh tertentu dalam mengawal selia TH selepas pendedahan mengenai kedudukan kewangan agensi tersebut baru-baru ini.

Tambah Fuziah, penyeliaan BNM akan mewujudkan semak imbang kepada TH terutama dalam pengurusan risiko selain campur tangan dalam sebarang salah laku tadbir urus agensi itu.

“Pada 2016, Gabenor Bank Negara menyatakan ada salah tadbir urus dalam TH tetapi oleh kerana BNM pada ketika itu tidak mengawal selia TH secara langsung, maka tidak ada kuasa untuk ​​​​​​​berbuat sesuatu sehingga hari ini,” katanya.

Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ​Rawa ​​​​​mengumumkan bahawa​ ​​​​​​TH ​​​​​​​akan dikawal selia oleh BNM bermula Januari tahun depan, ​​​​​​​sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sehingga 31 Dis 2017, jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion manakala jumlah liabiliti RM74.4 bilion.