Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TH Perlu Kembali Kepada Objektif

TH Perlu Kembali Kepada Objektif

KUALA LUMPUR, Pemuda Pas menegaskan kes pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 yang didedahkan menteri kelmarin perlu segera diambil tindakan perundangan.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya terbukti bersalah, hukuman sewajarnya wajib dikenakan.

“Pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 yang didakwa pihak menteri perlu segera dibawa ke muka pengadilan. Segala keterangan mesti dibawa kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan perundangan susulan dan menghadapkan pihak terbabit kepada perbicaraan.

“Jika terbukti berlaku penyelewengan dan didapati pesalah laku berkenaan, hukuman sewajarnya wajib dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, pada selasa.

Menurutnya isu TH hendaklah diselesaikan secara holistik bukan hanya tertumpu kepada soal pemberian dividen (hibah) semata-mata.

Katanya, TH perlu kembali ke objektif asalnya bagi menjamin kelangsungan institusi itu.

“Bagi menjamin ianya tidak digugat oleh sebarang angkara dan kecurangan, penstrukturan kewangan dan pengurusan institusi ini mestilah kembali kepada objektif asalnya.

“Bahkan TH mesti diperkasakan lagi untuk berperanan menyempurnakan urusan haji umat Islam Malaysia sama ada dari profesionalisme pengurusannya mahupun janaan subsidi hasil pelaburannya,” katanya.

Katanya, reputasi TH sebagai badan yang menyimpan deposit terbesar umat Islam negara ini untuk menunai Rukun Islam kelima mesti diamankan dari sebarang unsur politik.

Tambahnya, kepercayaan pendeposit dan umat Islam tidak boleh diracuni oleh sebarang kecurigaan atau momokan yang boleh menjejaskan institusi penting itu sendiri.

Leave a Reply

Top