MH Online

Laman Suara Rakyat

TH Perlu Bebas Daripada Politik

TH Perlu Bebas Daripada Politik

Langkah meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu inisiatif bagi mengelak institusi kewangan Islam itu digunakan untuk kepentingan individu atau politik.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendedahan mengenai TH yang berdepan defisit RM4.1 bilion bukan menunjukkan institusi berkenaan tidak bagus sebaliknya ia diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.

“Mereka menggunakan institusi itu untuk kepentingan politik dan peribadi. Tindakan harus diambil dan kita harus dapatkannya semula (TH). Kita perlu fokus kepada peranan dan matlamat sebenar TH ditubuhkan,” katanya selepas menyampaikan ucap tama dan merasmikan Simposium Tahunan Kewangan Islam Keempat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Bank Dunia (Malaysia), Dr Firas Raad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof Datuk Dr Azmi Omar.

Simposium dua hari dianjurkan Bank Dunia, INCEIF dan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI).

Mengulas lanjut Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beberapa langkah lain juga perlu diambil bagi memastikan TH terus kekal menjadi organisasi lebih efisien pada masa depan.

“Ini (TH) adalah satu contoh bagaimana pengurusan yang ‘goblok’ (bodoh) yang merosakkan…yang mengkhianati amanah. “Bukan salah institusi..bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat.

“Saya harap tindakan diambil secara tegas dan kita dapat menyelamatkan semula TH iaitu satu institusi penting dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Anwar berkata, institusi kewangan Islam termasuk bank perlu menumpukan isu masyarakat secara menyeluruh bagi menjana pertumbuhan.

“Kita perlu ada anjakan (perubahan) yang jelas. Institusi seperti INCEIF sudah membincangkan mengenai perkara itu dan hari ini (semalam) ia mengupas soal pembasmian kemiskinan (SDG1) dan kebuluran (SDG2) yang diberikan tumpuan.

“Isu berkenaan sepatutnya perlu diberi tumpuan daripada awal tetapi dalam beberapa dekad perkara itu disisihkan dalam agenda utama.

“Jadi sekarang ada keperluan untuk institusi kewangan Islam termasuk bank menumpukan isu masyarakat secara umumnya,” katanya.

Menjana pertumbuhan katanya, bukan sekadar menjadikan sistem itu halal tetapi ia harus adil dan mendorong ke arah kesamarataan.