Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Tesco Mula Jual Aset Di Asia

Tesco Mula Jual Aset Di Asia

Peruncit yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Tesco PLC memulakan proses bidaan bagi perniagaan pasar raya di Asia yang dianggarkan bernilai sehingga AS$9 bilion (RM36.9 bilion), demikian menurut sumber yang mempunyai maklumat berkenaan.

Memetik laporan agensi berita Dow Jones, sumber itu berkata, pusingan pertama bidaan berkenaan dijangka bermula pada pertengahan Januari ini.

Bagaimanapun, Tesco tidak memberikan sebarang maklum balas kepada e-mel yang dihantar bagi mendapatkan kenyataan daripada peruncit berkenaan.

Disember lalu, Tesco yang juga satu daripada pengendali operasi pasar raya terbesar di dunia berkata ia mula menyemak semula pilihan bagi perniagaannya di Thailand dan Malaysia, termasuk kemungkinan menjual aset.

Sama seperti pengendali lain, Tesco juga sudah mengecilkan kehadirannya di luar negara bagi memberi tumpuan kepada pasaran di UK, yang mana ia terperangkap dalam perang harga dengan pesaing lain seperti Amazon.com Inc dan Ocado Group PLC.

Sejak 2011, Tesco telah menutup operasinya di beberapa pasaran termasuklah di Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan selain menyerahkan beberapa kawalan operasinya di China.

Bagi tempoh enam bulan sehingga 24 Ogos lalu, keuntungan sebelum cukai Tesco adalah sebanyak 494 juta pounds (RM2.65 bilion) berbanding 463 juta pounds (RM2.48 bilion) dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Langkah menamatkan pelaburan yang terbaharu oleh Tesco itu adalah selaras dengan langkah peserta lain seperti dari Perancis iaitu Carrefour SA dan Casino Guichard-Perrachon SA yang juga telah menghentikan operasi di negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Tesco mula memasuki pasaran Thailand pada 1998 dengan membeli kepentingan majoriti dalam pasaraya besar Lotus Supercenter dengan nilai AS$365 juta (RM1.49 bilion) daripada konglomerat Thailand, Charoen Pokphand Group.

Tesco Lotus kini mengendalikan operasi sekitar 2,000 cawangan kedai di negara Asia Tenggara termasuklah pasaraya besar.

Sumber yang mempunyai maklumat berkaitan bidaan Tesco di Asia sebelum ini berkata segmen perniagaan di Thailand dianggarkan bernilai AS$7 bilion (RM28.7 bilion) dan di Malaysia dalam anggaran AS$1.5 bilion (RM6.15 bilion) hingga AS$2 bilion (RM8.2 bilion).

Kumpulan UK itu mula beroperasi di Malaysia sejak 2006 dan kini mempunyai 74 kedai di negara berkenaan.

Saham Tesco meningkat sekitar lima peratus sejak kenyataan pada Disember lalu yang ia sedang mengkaji pilihan bagi perniagaanya di Asia.

Leave a Reply

Top