Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang laporan mengenai perkara itu yang diajukan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu mempunyai asas yang kukuh.

“Itu terserah kepada pihak pertubuhan, agensi dan jabatan berkenaan untuk meneliti apakah kesan soal itu (menerima dana 1MDB).

“Perkara itu luar daripada batas saya. Kita ada ROS serta polis yang buat siasatan. Apa yang penting mesti ada asas yang kukuh apa yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilifitri Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Semalam Pemuda Harapan Malaysia menghantar laporan kepada ROS supaya UMNO dikenakan tindakan tegas kerana parti berkenaan menerima dana sebanyak RM212 juta daripada 1MDB.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, mendedahkan suruhanjaya itu telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB.

Menurut Latheefa, antara transaksi paling tinggi ialah membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta.