LIMA (PERU), Malaysia berkongsi pandangan dengan beberapa negara yang menyertai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bahawa terlalu awal untuk memberi kata putus atau membuat keputusan muktamad mengenai inisiatif perjanjian perdagangan bebas itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau menemui menteri perdagangan Australia, Amerika Syarikat dan Peru di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini Khamis, yang berpandangan terlalu awal untuk membuat sebarang ketetapan mengenai TPP.

Beliau berkata Malaysia perlu melihat pelantikan personaliti-personaliti penting dan dasar luar serta perdagangan dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih, Donald Trump dengan jelas.

“Kita telah melabur masa yang panjang, lima tahun berunding secara intensif (untuk TPP). Tidak adil untuk buat keputusan terburu-buru,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena persidangan APEC dan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Peru untuk persidangan tersebut pada Khamis.

Mustapa mewakili Malaysia pada mesyuarat APEC peringkat menteri pada Khamis dan Jumaat.

APEC, yang diasaskan pada 1989, adalah satu forum 21 negara lingkaran Pasifik yang bertujuan untuk menggalakkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan, memudahkan perniagaan dan menggalakkan kerjasama ekonomi serta mencapai kemakmuran dalam kalangan negara anggota.

Anggota APEC ialah Australia; Brunei; Kanada; Chile; China; Hong Kong; Indonesia; Jepun; Malaysia; Mexico; New Zealand; Papua New Guinea; Peru; Filipina; Rusia; Singapura; Republik Korea; Taipei; Thailand; Amerika Syarikat dan Vietnam.

Dua belas (12) anggota APEC menyertai TPP yang merupakan inisiatif perjanjian perdagangan bebas (FTA) iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Jepun.

Mustapa menjelaskan antara sebab Malaysia menyertai TPP ialah ia tidak mempunyai FTA dengan Amerika Syarikat, Mexico dan Peru.

Beliau berkata Malaysia dan menteri-menteri perdagangan negara TPP menunggu pertemuan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan 21 pemimpin negara TPP di luar persidangan pemimpin APEC pada Sabtu di sini untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai masa depan TPP.

Katanya antara panduan yang dijangka diberikan Obama pada pertemuan tersebut adalah mengenai keadaan semasa TPP di Amerika Syarikat dan langkah-langkah yang sedang diambil beliau untuk terus ‘memujuk’ pihak pentadbiran baharu dan ahli kongres tentang kebaikan TPP untuk Amerika Syarikat.

Mustapa berkata terdapat tiga ‘kategori’ negara TPP yang terbentuk ekoran perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat iaitu negara yang begitu komited seperti Jepun dan New Zealand, negara membuat penilaian tetapi mengambil sikap tunggu dan lihat dan negara yang dilaporkan menyatakan pendirian untuk mengkaji TPP seperti Vietnam.

“Pada Malaysia, kita masih berminat menyertai TPP dan kita difahamkan terlalu awal untuk beri kata putus tentang dasar perdagangan Amerika Syarikat,” katanya.

Katanya dasar perdagangan Amerika Syarikat apabila berlaku perubahan kepimpinan memerlukan masa beberapa bulan atau setahun untuk mendapatkan gambaran yang jelas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *