MH Online

Laman Suara Rakyat

Terima Maklumat Tidak Tepat, Zahidi Mohon Maaf

Terima Maklumat Tidak Tepat, Zahidi Mohon Maaf

KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Zahidi dalam hantaran di Facebook rasminya semalam memohon maaf atas kesilapan itu dan akan membuat pembetulan pada sidang Dewan Negara pada Isnin.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Zahidi berkata hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudian menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan seperti dalam video itu.

Jun lalu, video Veveonah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian menjadi tular di media sosial.