Hari kemuncak itu biasanya menjadi perhatian ahli-ahli UMNO, parti-parti gabungan Barisan Nasional (BN) serta pemerhati politik Malaysia bagi mengetahui hala tuju parti Melayu terbesar itu.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh itu turut mendapat reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang ‘berterima kasih’ kepada badan pengelola pilihan raya tersebut.

Beliau dalam akaun Facebook miliknya malah memuat naik status tanda pagar ‘#tidaksengaja’, sebagai respon terhadap keputusan SPR.

“Terima kasih SPR kerana tidak sengaja memilih tarikh Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai bersempena tarikh Perhimpunan Agong UMNO pada 16 November 2019,” katanya dalam akaun media sosialnya itu hari ini.

Sebilangan besar pengikut Facebook Asyraf Wajdi memberi reaksi sama serta menganggap ia satu cabaran yang perlu dihadapi pembangkang.

Seorang pengguna Facebook, DjMiey Drani berkata, “Memang disengajakan….semoga Allah memberikan kemenangan kepada penyatuan ummah PAS-Umno (Muafakat Nasional).”

Seorang lagi, Aniz Izah berkata, “Tidak tahu hendak komen apa Datuk….situasi ini sangat menyakitkan hati…apapun perjuangan mesti diteruskan…kemenangan milik BN-Pas”

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal pada 12 November.

Kerusi Parlimen Tajung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr. Farid Md. Rafik, yang meninggal dunia pada 21 September lalu.

PRK berkenaan menjadi perhatian kerana bakal menguji kekuatan kerjasama UMNO dan Pas dan pada masa sama menilai populariti Pakatan Harapan (PH) terutama dalam kalangan orang Melayu, yang merupakan majoriti pengundi di Parlimen tersebut.