MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Terima Kasih Kerajaan Kerana Dengar Suara Hati Rakyat’

'Terima Kasih Kerajaan Kerana Dengar Suara Hati Rakyat'

KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa syukur dan menghargai maklumbalas kerajaan yang mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan Tabung Haji (TH).

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara hati rakyat agar ditubuhkan RCI bagi menyiasat segala tuduhan salah-laku, penyelewengan, penyimpangan dalam apa jua bentuk urusniaga dan operasi Tabung Haji sejak zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) sehinggalah kepada Perikatan Nasional (PN).

“Moga dengan tertubuhnya RCI ini kelak akan menjernihkan segala kekusutan dan menenggelamkan segala tohmahan dan fitnah yang saling tuding-menuding antara pelbagai pihak,” katanya berkaitan hal tersebut.

Terdahulu, Pemuda UMNO adalah antara pihak yang lantang dalam membawa suara hati rakyat dalam isu penyelewengan TH.

Desakan agar RCI ditubuhkan ekoran nilaian aset-aset dan pegangan saham-saham utama TH seperti Hap Seng Plantations, Malakoff, UEM Sunrise, IJM dan lain-lain terjejas teruk sepanjang pentadbiran PH sekaligus merendahkan nilai aset TH berbanding liability selain siri penjualan pelbagai aset TH termasuklah rangkaian hotel dan juga ladang-ladang miliknya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat berkata kerajaan akan mempertimbangkan keperluan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan TH kerana kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti.