Anda di sini!
Utama > Belia > Terengganu Tawar Program Khas Kepada Pelajar Tahfiz

Terengganu Tawar Program Khas Kepada Pelajar Tahfiz

KEMAMAN, Bermula tahun depan, kerajaan Terengganu akan menawarkan tempat kepada pelajar tahfiz, madrasah dan sekolah pondok yang mahu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Universiti Tati (Tatiuc) agar mereka boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional dan teknikal di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan mengumumkan peruntukan khas untuk program itu dalam pembentangan Bajet 2019 di persidangan Dun pada 25 November depan.

“Terdapat 146 institusi pendidikan seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan madrasah di Terengganu, namun hanya 80 sahaja yang sudah berdaftar (dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu), manakala bakinya masih dalam proses untuk pendaftaran.

“Tidak semua pelajar ini berpeluang menduduki SPM di sekolah itu, jadi kerajaan negeri berharap program usahama dengan Tatiuc ini akan mendapat sambutan daripada ibu bapa dan pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET (Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Tatiuc kali ke-12 yang disempurnakan Canselor Tatiuc Tan Sri Dr Wan Abdul Rahman Wan Yaakob dekat Kijal di sini, semalam.

Seramai 318 graduan Diploma dan 149 graduan program Ijazah Sarjana Muda diraikan dalam majlis konvokesyen tersebut.

Mengulas lanjut, Satiful yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tatiuc berkata, perincian yuran yang akan dikenakan kepada pelajar menyertai program itu akan diputuskan setelah peruntukan khas diumumkan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada pembentangan Belanjawan 2019 nanti.

“Kita akan berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Yayasan Terengganu untuk membantu pembiayaan pelajar yang akan menyertai program ini terutama pelajar dari golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Ditanya mengenai kemudahan tempat untuk pembelajaran dan penginapan pelajar program khas itu nanti, beliau berkata, terdapat hanya 1,200 pelajar di kolej universiti itu ketika ini berbanding 3,000 kapasiti yang disediakan.

Ketika ini, Tatiuc menawarkan 26 program akademik di pelbagai peringkat pengajian dan 68 kursus jangka pendek.

Leave a Reply

Top