Kerajaan Terengganu yakin sasaran 2,027 orang daripada 20,273 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini peroleh 6A dapat dicapai berdasarkan komitmen dan kerjasama diberikan semua pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sebelum ini kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT) menyasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon UPSR Terengganu memperoleh 6A, namun ia diturunkan berikutan soalan peperiksaan yang semakin mencabar, selain penambahan kertas.

“Hasil daripada pemantauan dan kajian JPNT, kerajaan perlu menurunkan sasaran daripada 20 peratus kepada 10 peratus kerana sasaran ini lebih realistik dan bersesuaian dengan tahap pencapaian peperiksaan yang dijalankan di sekolah setiap bulan.

“Malah, berdasarkan peperiksaan percubaan, kita baharu sahaja berjaya mencapai empat peratus dan keadaan ini adalah biasa memandangkan soalan dalam peperiksaan percubaan lebih mencabar berbanding UPSR sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan dan memberi kata-kata semangat kepada 99 calon UPSR di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, di sini, pagi ini.

Ahmad Razif berkata, sepanjang peperiksaan berlangsung bermula hari ini hingga 15 September, beliau akan mengadakan lawatan di sekolah terpilih untuk memberi motivasi dan semangat kepada murid sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan.

“Di Terengganu, sebanyak 363 pusat ujian dibuka untuk 20,273 calon UPSR di negeri ini. Malah, seramai enam calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana pelbagai masalah kesihatan.

“Saya percaya segala tunjuk ajar guru dan sokongan ibu bapa akan menjadi suntikan kepada murid untuk terus menelaah dan mengulangkaji, bagi memastikan kecemerlangan dalam peperiksaan ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *