Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Terengganu Peruntuk RM200K Kepada Penggiat Seni

Terengganu Peruntuk RM200K Kepada Penggiat Seni

KUALA NERUS, Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM200,000 kepada Jabatan Pelancongan Negeri untuk diagihkan kepada penggiat seni dan kebudayaan negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata bantuan itu sebagai galakan supaya mereka lebih aktif menganjurkan aktiviti kebudayaan yang menjadi penyeri dan penting kepada pelancongan negeri.

Beliau berkata semua persatuan, kelab dan penggiat seni yang berdaftar dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri boleh memohon bantuan terbabit untuk menjalankan aktiviti masing-masing yang akan diluluskan dengan segera.

“Seni kebudayaan adalah elemen penting dalam industri pelancongan kerana ia adalah antara faktor yang mampu menarik kedatangan pelancong ke sesebuah tempat.

“Dengan adanya bantuan ini, saya mahu semua penggiat seni budaya lebih aktif dan sama-sama membantu kerajaan menaikkan industri pelancongan,” katanya pada Majlis Himpunan Anak Seni Terengganu di Taman Tamadun Islam.

Seramai 200 orang yang terdiri daripada penggiat teater, seni silat dan seni ukiran hadir pada majlis tersebut.

Leave a Reply

Top