Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Terengganu Hantar 20,000 Peserta

Terengganu Hantar 20,000 Peserta

KUALA TERENGGANU, Terengganu dijangka akan menghantar sekurang-kurangnya 20,000 peserta bagi himpunan perdana menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, jumlah itu dijangka mampu mencapai sasaran seramai 1 juta peserta yang akan menyertai himpunan itu.

“Himpunan bersejarah kali ini dianjurkan demi kepentingan dan kesatuan ummah dan daulah. Kita ramal perhimpunan ini akan mendapat penyertaan dalam jumlah yang besar.

“Semua sekali tak kira Pas atau Umno akan turun berhimpun. Himpunan ini juga terbuka, tidak kira mereka dari PKR atau parti mana, boleh hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelantikan Jawatankuasa Masjid Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, hari ini.

Menurutnya, himpunan bagi menyokong pendirian perdana menteri berhubung penolakan ICERD itu akan berjalan lancar sekiranya tiada provokasi daripada mana-mana pihak.

“Kita yakin jika tiada provokasi dari mana-mana pihak, himpunan ini akan berjalan secara harmoni dan aman. Jaminan ini berdasarkan perhimpunan besar-besaran yang pernah dianjurkan oleh Pas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nor turut menasihatkan supaya semua peserta mengikut peraturan dan nasihat penganjur program.

“Dengar nasihat penganjur dan ikut peraturan yang digariskan. Selain itu, saya minta para peserta untuk tidak ambil kira dan terpengaruh dengan sebarang provokasi oleh pihak luar,” katanya.

Leave a Reply

Top