Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Terengganu Akan Bangunkan Modul Khas Tingkat Ekonomi Ibu Tunggal

Terengganu Akan Bangunkan Modul Khas Tingkat Ekonomi Ibu Tunggal

KUALA NERUS, Kerajaan Terengganu akan membangunkan satu modul baharu bagi memperkasa ekonomi kira-kira 32,000 ibu tunggal di negeri itu, dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan dua pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan Datuk Dr Fadzilah Kamsah untuk membangunkan modul berkenaan.

“Kita akan bergabung dengan dua pakar motivasi ini untuk mencari satu kaedah dan modul khas bagi membantu ibu tunggal di negeri ini untuk kelangsungan hidup mereka.”

“Kita bimbang kalau ibu tunggal tidak dapat menikmati kehidupan yang baik, anak-anak akan terjejas dan mereka tidak dapat membesar dengan baik. Kita nak anak dipimpin ibu tunggal dapat menjadi anak-anak yang menghafaz al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Serikandi Terengganu 2018 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Ahmad Razif turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai RM200 kepada 4,000 ibu tunggal di Parlimen Kuala Nerus.

Seorang penerima bantuan Che Ku Long Ishak, 72, dari Kampung Raja, Tepoh berkata meskipun bantuan disalurkan kerajaan negeri mungkin dianggap kecil bagi sesetengah individu, ia amat besar bagi dirinya yang menyara tujuh anak selepas kehilangan suaminya 32 tahun lepas.

“Dulu, mak cik memang susah sungguh (terlalu susah). Semasa suami meninggal, anak mak cik semuanya masih bersekolah. Mak cik kerja kampung, tanam dan jual sayur saja…banyak mana sangat hasil duit jual sayur. Mujurlah kerajaan tolong, semasa itu mak cik dapat bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memang cukup untuk kami sekeluarga.”

“Bukan satu bantuan sahaja mak cik dapat…bantuan pakaian sekolah, bantuan raya yang kerajaan negeri beri semuanya mak cik dapat. Memang kerajaan banyak bantu mak cik untuk sara anak-anak…dua anak mak cik juga dapat biasiswa,” katanya.

Lebih menggembirakan, Che Ku Long berkata kerajaan negeri turut memberi Dana Remaja (kini dikenali Dana Transformasi Orang Muda) kepada kesemua anaknya selepas mencapai umur 21 tahun.

“Alhamdulillah, sekarang anak mak cik semuanya berjaya dan ada kerja masing-masing. Dua orang jadi cikgu, mak cik bersyukur sangat. Memang untung jadi anak Terengganu, banyak kerajaan tolong.”

“Sampai sekarang, walaupun mak cik tidak lagi menyara anak-anak, mak cik tetap dapat bantuan JKM dan turut menerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) setiap tahun…baru-baru ini dah masuk RM400, boleh buat belanja dapur dan beli baju,” katanya yang mempunyai 20 cucu.

Leave a Reply

Top