Pasukan tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi mengumpulkan ribuan anggota berhampiran pelabuhan Hodeidah, kata sumber semalam, dalam usaha menekan pemberontak Houthi kembali ke meja rundingan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Amerika Syarikat dan Britain menggesa perang selama tiga setengah tahun ditamatkan kerana membawa Yaman ke kancah kebuluran, meningkatkan tekanan ke atas Arab Saudi ketika ia berhadapan kemarahan antarabangsa berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Penduduk memberitahu pemberontak juga menempatkan tentera di pusat bandar raya Hodeidah, di pelabuhan dan di selatan ketika menantikan serangan dilancarkan.
Felo perunding kanan di Chatham House, Peter Salisbury, berkata beliau tidak ragu-ragu lagi tentera pakatan berhimpun tetapi skeptikal mengenai jumlahnya.
“Saya pasti ada ramai anggota tentera, tetapi 30,000 agak sukar dipercayai,” katanya.
Pasukan pakatan dan Houthi tidak memberi kenyataan mengenai pergerakan anggota mereka.
Wakil khas PBB ke Yaman cuba menyelamatkan rundingan damai yang gagal September lalu, meningkatkan risiko serangan di bandar raya itu, pelabuhan utama negara berkenaan dan talian hayat kepada jutaan penduduk yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
Martin Griffith menyambut baik desakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, kelmarin untuk menghentikan permusuhan menjelang rundingan diketuai PBB dijadualkan bermula bulan depan. — Reuters
Berita lain
Australia Ubah Lagu Kebangsaan Iktiraf Kaum Pribumi
Petugas Kesihatan AS Alami Alergi Serius Selepas Divaksin
Conte Tolak Tekanan Untuk Istihar Darurat