Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan KEL kepada orang awam bermula semalam hingga 23 Oktober ini.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata pihaknya menjangkakan nombor pendaftaran negeri itu mendapat sambutan seperti yang diperoleh KEE dan KEK.

Sebelum ini, katanya, kutipan tertinggi hasil daripada tender nombor pendaftaran KEE adalah RM308,000 pada 2016, manakala KEK sebanyak RM189,000, tiga bulan lalu.

“Kami jangka KEL mendapat kutipan yang tinggi kerana mempunyai banyak kombinasi yang boleh dijadikan pelbagai perkataan seperti KEL 14 (KELIA), KEL 413 (KELAB), KEL I45 (KELISA) dan KEL I847 (KELIBAT).

“Harga nombor terbabit dibahagi kepada tiga kategori iaitu nombor emas, 1 hingga 10 bermula dengan RM10,000; nombor menarik bermula RM2,000 dan nombor popular bermula RM310,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Ismasuhaimi berkata, pihaknya yakin ia mendapat sambutan menggalakkan dan membolehkan tender terkumpul mencecah RM2 juta seperti yang diperoleh KEE iaitu RM1.88 juta.

“Buat masa sekarang, nombor pendaftaran KEK masih berjalan dan dijangkakan akan mencecah angka 9000 pada awal November ini.

“Selepas selesai KEK, nombor pendaftaran KEL pula dijangka bermula pertengahan bulan depan.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan kepada pengguna tidak terlalu taksub dengan nombor pendaftaran sehingga gagal mematuhi spesifikasi yang sudah ditetapkan kerana jika melanggar peraturan, saman akan dikeluarkan,” katanya.

Orang ramai yang berminat, boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah di sini dan panduan serta syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *