MH Online

Laman Suara Rakyat

Teliti Dahulu Korban Aidiladha Di Makkah

Teliti Dahulu Korban Aidiladha Di Makkah

KANGAR, Umat Islam di negara ini disaran meneliti terlebih dahulu, sebelum menyertai mana-mana penganjuran korban Aidiladha yang didakwa dilakukan di Makkah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata umat Islam di negara ini perlu meneliti perkara itu memandangkan situasi ibadah korban di kota suci itu begitu berbeza ketika ini.

Katanya, setiap tahun lambakan daging korban dialami di Makkah sehingga pihak berkuasa Arab Saudi, terpaksa menguruskan agihan secara menghantarnya ke negara ketiga.

“Setiap tahun, berlaku lambakan daging sembelihan korban di Makkah sehinggakan kerajaan Arab Saudi terpaksa uruskan untuk dihantar ke negara-negara lain yang memerlukan.

“Jika tidak, akan berlaku pembaziran,” katanya menerusi satu kenyataan dikongsikan dalam Facebook peribadinya hari ini.

Mohd Asri berkata, beliau secara peribadi khuatir dan timbul pelbagai persoalan di dalam fikirannya apabila didatangi sesetengah pihak yang mendakwa menguruskan penganjuran ibadah korban di Makkah.

“Apabila ada pihak tertentu memaklumkan kepada saya mengenai cadangannya membuat sembelihan korban di Makkah sedangkan dia berada di Malaysia, saya tertanya-tanya, banyak persoalan timbul di fikiran.

“Dengan rendah diri, saya mencadangkan elok sesiapa yang mahu terlibat itu, semak dengan teliti,” katanya.

Sebelum ini, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat apabila sebahagian pihak mendakwa menguruskan penganjuran ibadah korban di Makkah, sedangkan pihak terbabit menetap di negara ini.