MH Online

Laman Suara Rakyat

TDI Bantu Pesakit Konik

TDI Bantu Pesakit Konik

KUALA TERENGGANU, Kerajaan negeri Terengganu memohon lebih ramai individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan kepada Tabung Darul Iman (TDI) bagi membantu pesakit kronik dan mereka yang ditimpa musibah selain bencana alam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setakat Ogos lepas, sebanyak RM3.8 juta telah diagihkan kepada hampir 3,000 penerima menerusi tabung itu.

“TDI ditubuhkan bagi membantu golongan susah dan kurang bernasib baik mengharungi dugaan hidup, seperti penyakit kronik yang pastinya memerlukan kos perubatan yang tinggi dan berterusan.

“Jumlah pemohon yang datang daripada pelbagai latar belakang dijangka meningkat dari tahun ke tahun dan kita memerlukan dana yang lebih banyak bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal TDI di Wisma Darul Iman, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat.

Sebanyak RM1.5 juta berjaya dikumpul menerusi sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT).

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri memerlukan lebih banyak dana untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti pesakit-pesakit kronik yang memerlukan peruntukan besar iaitu sekitar RM1 juta sebulan.

“Jumlah tabungan TDI pada masa ini ialah RM3.5 juta dan kita memerlukan lebih banyak dana untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Di samping bantuan daripada syarikat GLC kita juga menerima sokongan melalui potongan gaji penjawat awam negeri secara sukarela yang berjumlah sekitar RM10,411 sebulan,” katanya. –