Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tarikh Pembebasan Anwar Ditunda Lagi

Tarikh Pembebasan Anwar Ditunda Lagi

Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual 11 pagi esok sekali lagi ditunda kepada Rabu ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataan berkata, perubahan tarikh itu adalah makluman terkini yang diterima daripada Jabatan Perdana Menteri.

“Oleh itu, sebarang program berkaitan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditunda sehingga makluman lanjut dibuat.

“Sebarang kesulitan adalah dikesali,” katanya menerusi kenyataan yang disebarkan kepada pihak media melalui aplikasi WhatsApp jam 6 petang tadi.

Dalam laporan jam 3.20 petang tadi, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu diawalkan kepada jam 11 pagi dan bukannya 5 petang seperti diberitahu sebelum ini.

Beliau dipetik berkata, mesyuarat akan berlangsung di Istana Negara dan akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V); Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota lain.

Sehingga jam 7 petang ini, Nurul Izzah masih berada di Pusat Rehabilitasi Cheras melawat bapanya sejak 1.13 petang manakala beberapa wakil media terus berkumpul sejak awal pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini Anwar.

Turut dilihat melawat beliau adalah Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang tiba jam di 6.20 petang tadi.

Leave a Reply

Top