Projek fasa kedua Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras di sini yang bernilai RM11 juta telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam bermula hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek itu adalah kesinambungan bagi pembinaan Taman Pudu Ulu sedia ada dan bertujuan melengkapkan keseluruhan taman tersebut dengan menyediakan kemudahan rekreasi yang serba lengkap kepada penduduk sekitar.

“Reka bentuk pembangunan di kawasan seluas 33 ekar (13.35 hektar) ini mengambil kira keperluan pengguna dengan bercirikan konsep taman metropolitan, mesra pengguna, penghijauan taman, pendidikan taman serta rekreasi air.

“Keistimewaan pembangunan fasa dua ini adalah kolam mandi yang direka bentuk khusus untuk kanak-kanak, ini merupakan kolam yang pertama dibina seumpamanya di taman awam di Kuala Lumpur dan ia menjadi mercu tanda di Taman Rekreasi Taman Ulu Pudu,” katanya semasa merasmikan taman itu di sini.

Menurutnya antara kemudahan lain yang disediakan dalam pembangunan fasa kedua itu ialah Plaza Utama berkanopi yang sesuai untuk acara riadah seperti Zumba dan Senamrobik.

“Warga kota di sekitar Taman Pudu Ulu juga amat bertuah dan patut berasa bangga kerana taman ini telah dipilih sebagai tuan rumah untuk acara petanque bagi temasya Sukan SEA ke-29 pada Ogos nanti. Gelanggang itu hampir siap dan dijangka mula digunakan pada Jun nanti,” katanya.

Menurutnya, warga kota khususnya penduduk sekitar taman tersebut dinasihatkan agar menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin supaya ia dimanfaatkan secara bersama.

Dalam program berkenaan, Tengku Adnan turut meluangkan masa melakukan lawatan ke gelanggang petanque yang terletak di dalam kawasan taman tersebut.

Pada acara perasmian tersebut, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada lebih 500 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah dan penduduk sekitar.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *