Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tak Wajar Sebar Idealogi Politik Di Sekolah

Tak Wajar Sebar Idealogi Politik Di Sekolah

SHAH ALAM, Semua pihak tidak wajar menjadikan sekolah sebagai tempat untuk menyebarkan ideologi serta meraih sokongan politik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata institusi sekolah sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid ke arah matlamat membina negara yang lebih baik.

“Mana-mana pihak yang ingin berpolitik seharusnya memilih lokasi yang sesuai dan bukan di sekolah, termasuklah untuk edar borang keahlian parti.

“Saya tidak tahu sama ada kes (edar borang) betul atau tidak betul, tetapi sekolah bukan tempat berpolitik. Banyak tempat lain yang kita boleh edarkan borang parti dan sebagainya.

“Kita tidak mahu surau, sekolah dan masjid jadi tempat kita berpolitik sebab semua tempat ini untuk kita mencapai perpaduan, kesatuan dan kerjasama.

“Kalau hendak berpolitik, cari tempat lebih sesuai. Dalam kes ini saya tidak tahu, mungkin cikgu yang minta (borang) atau pesanan rakan, tetapi ia tidak digalakkan di sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Padang SMK Seksyen 19 di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan seorang pemimpin AMANAH kerana membawa borang keahlian parti di sebuah sekolah di Perak Tengah.

Berikutan itu, Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, menyifatkan tindakan mengedarkan borang keahlian parti di sekolah adalah tidak bijak.

Beliau berkata tindakan itu adalah dilarang dalam parti kerana akan memberi implikasi negatif terhadap imej parti.

Dalam perkembangan lain, Khalid menafikan rombakan kabinet akan dilakukan, sebaliknya menyifatkan ia adalah provokasi pihak tertentu untuk memberi gambaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan tidak stabil.

“Saya lihat kabinet yang ditubuhkan ini cukup tertumpu dan semua (menteri) hanya fikirkan jalan untuk laksanakan tugas masing-masing.

“Malah, Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) juga memaklumkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan Kabinet,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Dr Mahathir mengesahkan tiada rombakan barisan Kabinet akan dilakukan kerana beliau berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinetnya dan tidak nampak sebarang keperluan bagi rombakan dilakukan.

Leave a Reply

Top