MH Online

Laman Suara Rakyat

Taiwan Lulus Vaksin Buatan Syarikat Tempatan

Taiwan Lulus Vaksin Buatan Syarikat Tempatan

TAIPEI, Taiwan meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan vaksin COVID-19 buatan syarikat tempatan, Medigen.

Malah, berdasarkan data awal, vaksin terbabit memiliki tahap keberkesanan yang sama dengan AstraZeneca.

Vaksin Medigen Vaccine Biologics Corp atau lebih dikenali MVC-COV1901, masih belum melepasi ujian klinikal, namun menunjukkan hasil data fasa dua memberangsangkan bulan lalu.

Kementerian Kesihatan Taiwan berkata, panel pakar meluluskan penggunaannya semalam dan proses inokulasi pertama ke atas orang awam dijangka dilaksanakan awal bulan depan.

Bagaimanapun, buat masa ini tiada perincian mengenai kadar keberkesanannya diberikan, namun kementerian memaklumkan tahap keberkesanannya sama dengan vaksin AstraZeneca.

“Tiada sebarang masalah keselamatan yang besar,” menurut kementerian itu.

Menteri Kesihatan, Chenn Shih-chung pula dilaporkan berkata, penghasilan kapasiti vaksin terbabit akan mengambil sedikit masa.

Medigen menawarkan ‘vaksin subunit’ bagi merangsang sistem imunisasi manusia bagi mengenal pasti peningkatan protein yang digunakan COVID-19 terhadap sel badan.

Proses inokulasi menggunakan vaksin terbabit membabitkan dua dos lengkap untuk individu berusia 20 tahun ke atas.

Menurut kementerian lagi, Medigen diarah mengemukakan laporan pemantauan keselamatan bulanan serta laporan keberkesanannya dalam tempoh setahun.

Kerajaan Taiwan buat masa ini sudah menandatangani kontrak bagi perolehan lima juta dos vaksin terbabit serta lima juta lagi dos vaksin buatan syarikat tempatan, United Biomedical yang masih belum menerima kelulusan untuk digunakan. – AFP