Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tahap Pematuhan PKP 97%

Tahap Pematuhan PKP 97%

KUALA LUMPUR, Kadar pematuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 97 peratus semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan pihaknya masih belum berpuas hati dengan statistik itu kerana masih ada tiga peratus rakyat Malaysia ingkar pada PKP yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Jelasnya, jumlah tangkapan harian individu ingkar PKP juga menyaksikan penurunan apabila seramai 300 individu ditahan semalam, berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya.

“Berbanding kelmarin, kadar tangkapan menurun 34 peratus, namun kita masih mengkaji dan meneliti trend ini sebab dua hari lalu, mulanya menurun kemudian meningkat kembali.

“Peningkatan sebelum ini kita harap bersifat sementara kerana ramai yang keluar untuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk keluarkan wang bantuan daripada kerajaan. Kita harap ia akan terus menurun,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan daripada 300 individu yang ditahan semalam, seramai 252 individu direman manakala 48 individu lagi dibebaskan dengan jaminan.

Seramai 518 individu dituduh di mahkamah semalam, dengan jumlah tangkapan keseluruhan individu yang ingkar PKP dari 18 Mac hingga semalam adalah 7,205 orang.

Berhubung kompaun RM1,000 yang mula dilaksanakan polis semalam, sebanyak 95 notis kompaun itu diserahkan kepada individu yang didapati ingkar arahan PKP dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal membayarnya dalam tempoh dua minggu.

“Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah atau balai polis berhampiran dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 769 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 433,988 kenderaan.

Selain itu, katanya, sebanyak 36,980 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,022 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Dalam mesyuarat hari ini, kita bersetuju supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turun membantu PDRM dan ATM mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 954 operasi sanitasi awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilakukan sejak 30 Mac lalu di 81 zon, termasuk 23 zon merah dan 16 zon jingga, serta 686 bangunan kerajaan dan 433 tempat awam.

Selain itu, katanya, 159 operasi sanitasi membabitkan 61 zon di 12 negeri, termasuk 29 kawasan di Johor dan 30 kawasan di Kuala Lumpur di laksanakan semalam.

“KPKT menyasarkan menyah cemar 38 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di zon merah dan jingga dan semalam, lima PPR telah dinyah cemar, menjadikan jumlah keseluruhan 30 PPR selesai disanitasi, membabitkan 31,775 unit rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 143 pusat kuarantin, termasuk 24 hotel sudah beroperasi semalam dengan 9,720 individu sedang menjalani kuarantin wajib.

“Semalam, seramai 229 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib,” katanya.

Leave a Reply

Top