MH Online

Laman Suara Rakyat

Syabu Bernilai RM488,000 Dirampas Di Genting Highland

Syabu Bernilai RM488,000 Dirampas Di Genting Highland

BENTONG, Polis merampas dadah bernilai kira-kira RM488,000, dipercayai untuk pasaran di Bentong dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dadah jenis syabu seberat 10 kilogram dan erimin seberat 0.22 gram itu disita dalam serbuan di Genting Highlands, kira-kira jam 7.45 malam, pada 10 Disember lalu.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Petaling Jaya, Selangor di depan restoran di pusat peranginan berkenaan.

Beliau berkata, syabu dalam 10 bungkusan teh Cina kedap udara itu dipercayai diperoleh dari negara jiran.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM488,788 yang boleh dibekalkan kepada 20,776 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.

Abd Jalil berkata, rampasan dadah di Genting Highlands itu yang terbesar di daerah ini.

“Sindiket berkenaan mengedar syabu di daerah Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga lusa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.