MH Online

Laman Suara Rakyat

Susu & Kelapa Muda Tidak Berkesan Cegah COVID-19 – Pakar

Susu & Kelapa Muda Tidak Berkesan Cegah COVID-19 - Pakar

JAKARTA, Daripada susu steril hingga kelapa muda, rakyat di Indonesia kini beralih kepada minuman, makanan dan rempah ketika kes COVID-19 melonjak dengan mendadak.

Mesej yang menyatakan makanan itu berkesan dalam mencegah dan merawat COVID-19 merebak dengan pantas di laman media sosial, menyebabkan permintaan dan harga melambung tinggi.

Walau bagaimanapun, pakar yang ditemubual CNA menyatakan kebimbangan kemungkinan kesan sampingan daripada pengambilan berlebihan dan menyebabkan orang ramai mungkin menjadi leka serta mengabaikan langkah keselamatan kerana percaya mereka dilindungi.

“Orang ramai memperoleh maklumat yang salah mengenai makanan ini dengan ada yang menyatakan ia dapat menyembuhkan COVID-19, mencegah daripada dijangkiti atau merawat beberapa gejala,” kata Pengarah Kementerian Kesihatan Indonesia bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr Siti Nadia Tarmizi

“Tidak ada ujian klinikal yang menunjukkan ia efektif dalam mencegah, malah menyembuhkan COVID-19,” katanya.

Dr Siti Nadia berkata, Kementerian Kesihatan berulang kali mengingatkan orang ramai supaya tidak menyimpan stok barangan berkenaan, tetapi tidak diendahkan.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa video yang menunjukkan orang ramai berebut-rebut menyimpan susu lembu jenama tertentu menjadi tular di media sosial.

Ia susulan maklumat yang belum disahkan bahawa jenama susu yang disterilkan dapat meningkatkan antibodi seterusnya akan mencegah jangkitan COVID-19.

Dengan lonjakan permintaan yang tinggi, beberapa penjual dikatakan menaikkan harga barangan sehingga lima kali ganda.

“Sukar untuk mendapatkan susu (jenama tertentu) sejak akhir-akhir ini, itulah sebabnya saya cuba membelinya jika berpeluang,” kata suri rumah, Merry Sihombing kepada CNA.

“Saya diberitahu bahawa susu itu baik untuk tubuh badan. Saya tidak begitu yakin ia akan menghalang keluarga saya daripada dijangkiti virus COVID-19, tetapi tidak ada salahnya mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. – AGENSI