MH Online

Laman Suara Rakyat

Suri Hati Mr Pilot Ungguli Anugerah Telenovela 2017

KUALA LUMPUR, Novel Mr Boss, Miss Stalker mengungguli Anugerah Telenovela 2017 apabila memenangi enam daripada 36 kategori pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Novel terbitan Kaki Novel Sdn Bhd itu memenangi kategori Telenovela Terbaik (Mr Boss, Miss Stalker),  Pelakon Wanita Terbaik (Mia Ahmad) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Ashraf Muslim).

Turut dimenangi kategori  Pengarah Terbaik (Heykal Hanifah), Penulis Skrip Terbaik (Sofia J. Rhyland) dan Penerbit Telenovela Terbaik (Saphire Screen Sdn Bhd).

Anugerah anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu diadakan bersempena Festival Industri Kreatif bertujuan mengiktiraf kreativiti penulis dan warga penerbitan buku serta kru produksi yang mampu mengolah bahan bercetak ke layar perak.

Sementara itu, novel Tujuh Hari Mencintaiku pula membolot tiga anugerah iaitu kategori Novel Terbaik, Novelis Terbaik (Siti Rosmizah) dan Penerbit Novel Terbaik (SR Publication).

Bagi kategori popular undian orang ramai pula, novel Suri Hati Mr Pilot mengungguli kesemua kategori iaitu kategori Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Wanita Popular (Neelofa), Pelakon Lelaki Popular (Fattah Amin).

Pada Anugerah Telenovela 2017 edisi kedua itu, sebanyak 36 anugerah dipertandingkan dan kesemua pemenang menerima trofi dan sijil penghargaan.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan. Turut hadir Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah.

Terdahulu, dalam sidang media, Ahmad berkata aktiviti penerbitan buku adalah penyumbang  terbesar bagi industri kreatif negara pada 2016 iaitu sebanyak RM4 bilion dan aktiviti televisyen dan filem pula RM2 bilion.

Katanya industri kreatif dijangka menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dalam industri kesan visual dan animasi menjelang tahun 2020.