Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sultan Muhammad V Kembalikan Emolumen Diraja

Sultan Muhammad V Kembalikan Emolumen Diraja

KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengembalikan Emolumen Diraja selama enam bulan bermula April kepada Perbendaharaan Negeri Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, berkata langkah itu selari dengan pendekatan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengembalikan bayaran itu mulai Mac hingga Ogos depan.

“Baginda berharap Emolumen Diraja yang dikembalikan itu akan dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

“Baginda turut mengingatkan rakyat supaya bekerjasama membantu barisan hadapan dengan mematuhi PKP kerana ia penting bagi melandaikan puncak jangkitan (flattening the curve) dengan melindungi golongan yang mudah terdedah dan mengelak lebih ramai keluarga kehilangan orang yang disayangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Muhammad V berharap rakyat terus bersabar dan memandang PPK dari sudut positif, di mana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.

“Baginda juga berpesan walaupun PKP ini mungkin sukar bagi orang ramai, tetapi ia adalah langkah yang perlu di ambil dan rakyat perlu sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Nik Shafriman berkata, Sultan Kelantan turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan dan semua yang terbabit dalam sektor perkhidmatan kritikal yang tidak mengenal penat lelah dan berkorban untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Baginda turut mengajak rakyat untuk turut sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan wabak COVID19 ini dapat dikekang dan barisan hadapan yang sedang berjuang menyelamatkan pesakit sentiasa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Leave a Reply

Top