MH Online

Laman Suara Rakyat

Sukuk PRIHATIN Terlebih Langganan

Sukuk PRIHATIN Terlebih Langganan

KUALA LUMPUR, Sukuk Prihatin, antara inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), mendapat sambutan luar jangkaan apabila mencatat langganan lebih RM666 juta.

Jumlah itu mengatasi sasaran asal penerbitannya iaitu RM500 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan dari pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan sebanyak RM166 juta.

Katanya, sukuk itu diterbitkan oleh kerajaan bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca pandemik COVID-19.

“Tempoh langganan dibuka pada 18 Ogos dan telah ditutup pada 17 September lalu. Dana terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seperti menambahbaik kesalinghubungan di sekolah-sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

“Sukuk ini telah dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Maybank adalah bank pengedar utama bagi sukuk ini.

“Langganan dalam talian ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan kepada Sukuk Prihatin.

Katanya, lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin.

“Kerajaan percaya, semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh.

“Dengan penutupan tempoh langganan pada 17 September, Sukuk Prihatin ini akan diterbitkan pada 22 September 2020 dengan tempoh matang dua tahun. Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2.0% setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan.

“Pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022,” katanya.