MH Online

Laman Suara Rakyat

Sukuk Prihatin Cerminan Solidariti Rakyat Malaysia Bina Semula Ekonomi

Sukuk Prihatin Cerminan Solidariti Rakyat Malaysia Bina Semula Ekonomi

KUALA LUMPUR, Terbitan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta yang dilancarkan hari ini adalah hasil semangat yang ditunjukkan rakyat yang ingin turut serta membantu memacu semula ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan Covid-19, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu katanya, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan pendekatan secara ‘bottom-up’ untuk menerbitkan Sukuk Prihatin, yang membuka peluang langganan kepada orang awam dan pihak korporat.

“Usaha ini merupakan suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi negara,” kata Muhyiddin pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin itu di sini. Hadir sama ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pelancaran Sukuk tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan untuk menjadi pelabur terawal.

Sukuk Prihatin, instrumen pelaburan patuh syariah itu boleh dilanggan bermula dengan RM500 dan tiada had maksimum langganan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun selama dua tahun.

Tempoh langganan Sukuk Prihatian bermula hari ini hingga 17 September depan dengan keuntungan akan dibayar setiap suku tahun dan dikecualikan cukai. Ia hanya dilanggan melalui perkhidmatan perbankan digital, menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

“Saya amat terharu apabila dimaklumkan bahawa kerajaan telah menerima banyak tawaran yang jujur dan ikhlas daripada rakyat yang ingin membantu kerajaan dalam menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, langganan daripada terbitan Sukuk Prihatin itu akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Covid-19 dan program-program yang akan dibiayai oleh sukuk berkenaan adalah bagi manfaat pihak yang terkesan oleh wabak itu.

Menurutnya, antara program tersebut adalah menambah baik ketersambungan di sekolah di kawasan pedalaman agar anak-anak yang terkesan boleh meneruskan pembelajaran secara digital, serta memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terjejas akibat Covid-19 terutamanya usahawan wanita.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada dana Sukuk Prihatin untuk perbelanjaan kesihatan termasuk penyelidikan penyakit berjangkit.

“Ini akan memanfaatkan usaha Kementerian Kesihatan dan institusi penyelidikan awam serta institut pengajian tinggi dalam kajian terhadap sesuatu penyakit atau wabak berjangkit,” katanya.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana dana Sukuk Prihatin tertumpu kepada golongan yang benar-benar memerlukan, kerajaan berjanji akan memastikan tidak ada yang ketinggalan dalam usaha pemulihan ekonomi susulan wabak itu.

Beliau berkata, inisiatif Sukuk Prihatin memenuhi tiga fokus Wawasan Kemakmuran Bersama dan merupakan sebahagian pendekatan yang bakal memanfaatkan kumpulan sasaran yang paling terkesan akibat wabak Covid-19.

Tiga fokus Wawasan Kemakmuran Bersama itu ialah untuk menstruktur semula ekonomi dengan memastikan pembangunan untuk semua, menangani ketidaksamaan dengan merapatkan jurang pendapatan dan membina negara ke arah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah, katanya.

“Saya yakin, usaha murni ini akan memastikan rakyat dapat menikmati taraf hidup yang sewajarnya melalui pendekatan terbaik hasil kerjasama kerajaan dan rakyat,” katanya.