Selain itu, beliau turut menyindir pentadbiran Kelantan sebagai kerajaan yang menjalankan tadbir urus teruk sehingga gagal membekalkan air bersih untuk rakyatnya.

“Maruah Malaysia dikoyak-rabak di persada dunia akibat 1MDB. Maruah Malaysia sebagai negara berdaulat dinodai kerana kos projek mega melambung.

“Maruah beberapa negeri dicemar sehinggakan tiada akses kepada air bersih akibat tadbir urus buruk. Di mana suara profesor seperti Zainal Kling ketika itu?,” katanya hari ini.

Malah, kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah tidak berpuas hati dengan kongres berkenaan dan menggelarnya sebagai retorik pemimpin.

“Seseorang yang berani bersuara terhadap ketidakadilan walaupun kerjaya, periuk nasi dan hubungan sosial akan dikorbankan, itu adalah maruah yang sejati dan tulen.

“Setakat beretorik, di hadapan penyokong sendiri, maaf, itu jauh sekali daripada konsep ‘maruah’,” sindirnya.

Semalam, kongres dianjurkan di Stadium Melawati, Shah Alam itu dihadiri beberapa pemimpin berbeza parti politik termasuk Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi kongres itu, lima resolusi berjaya dihasilkan sebagai suara orang Melayu iaitu politik, pendidikan, ekonomi, budaya dan agama.