Anda di sini!
Utama > Hiburan > ‘Sudah Tertulis Rezeki Saya’

‘Sudah Tertulis Rezeki Saya’

KUALA LUMPUR, Biarpun menjadi pilihan kedua selepas pelakon pertama yang ditawarkan watak terpaksa menolak, Isyariana Che Azmi tidak kisah.

Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016 ini tidak pernah ambil pusing biarpun ada pihak mendakwa dia sekadar mengganti tempat yang sepatutnya diambil bintang lebih senior, Emma Maembong sebagai teraju utama drama Tolong Sempurnakan Cerita Mami.

“Saya anggap rezeki ini sudah tertulis. Saya bersyukur biarpun menjadi pilihan kedua. Saya dapat tawaran melakonkan watak Razaen pada saat-saat akhir selepas menyudahkan penggambaran sebuah telefilem.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam dunia lakonan murah sejak beberapa tahun lalu. Selepas selesai penggambaran drama Satukan Rasa, saya sambung pula dengan dua telefilem,” dipetik sebagai berkata.

Ditanya tidakkah gementar menjadi pilihan kedua selepas Emma yang dianggap senior dan memiliki kekuatan sendiri, Isyariana mengaku terkejut apabila ditawarkan projek berkenaan.

“Saya terkejut dan hati jadi bercampur baur. Apatah lagi saya tidak cukup rehat.

“Namun, apabila difikirkan soal peluang, apatah lagi produk mengisi slot Astro Megadrama buat kali pertama, ia tidak boleh dilepaskan. Peluang ini sudah lama diimpikan dan mungkin tidak datang lagi,” katanya.

Drama Tolong Sempurnakan Cerita Mami diarah Eyra Rahman. Selain Isyariana, drama ini diterajui Alvin Chong dan Datuk Fizz Fairuz

Biarpun agak kelam-kabut membuat persiapan, pelakon yang mirip penyanyi Agnes Monica ini percaya ada hikmah tersembunyi.

“Hari pertama memulakan penggambaran, saya dapat tahu peminat Alvin dan Emma meluahkan rasa kecewa kerana tak dapat melihat gandingan mereka.

“Namun, Alvin senang memberi kerjasama. Ini memudahkan tugas kami di lokasi,” katanya yang berharap peminat dapat menerima kemunculannya dalam drama berkenaan yang mula disiarkan di Astro Ria, semalam.

Leave a Reply

Top