MH Online

Laman Suara Rakyat

Suami Isteri Didakwa Pecah Amanah RM140 Juta

Suami Isteri Didakwa Pecah Amanah RM140 Juta

SHAH ALAM, Sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pelbagai tuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah berjumlah lebih RM140 juta serta bersubahat melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Lee Son Hong, didakwa atas 11 tuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah, manakala Too Sooi Keng dituduh atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

Bagaimanapun, Son Hong dan Sooi Keng masing-masing berusia 63 tahun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Son Hong didakwa sebagai Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) WRP Asia Pacific Sdn Bhd menggunakan invois palsu atas nama Tower Success Group Limited berjumlah keseluruhan RM8.4 juta untuk pembayaran bagi pembekalan yang sebenarnya tidak pernah dibuat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di WRP Asia Pasific, Lot 1, Jalan 3 Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, antara 27 Mac dan 22 Disember 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah palsu atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Son Hong turut didakwa atas lapan tuduhan sebagai CEO WRP Asia Pacific Sdn Bhd melakukan pecah amanah berjumlah RM137 juta milik syarikat itu di tempat sama, antara 12 Disember 2013 dan 27 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, isterinya, Sooi Keng didakwa atas tujuh tuduhan bersubahat dengan Son Hong melakukan pecah amanah berjumlah RM108 juta di tempat sama, antara 12 Disember 2013 dan 18 Januari 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, menawarkan jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

“Tertuduh mempunyai risiko melarikan diri kerana mempunyai dua anak yang bekerja dan menetap di Hong Kong dan United Kingdom,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan ikat jamin RM1.5 juta dengan seorang jamin berserta syarat tambahan sama terhadap Sooi Keng.

Bagaimanapun, Son Hong dalam rayuannya menerusi peguam P G Cyril memohon jaminan rendah dengan alasan sudah berusia 62 tahun dan kini sudah tidak bekerja sebagai CEO di syarikat itu sejak tahun ini.

“Tertuduh juga hadir ke mahkamah hari ini secara sukarela selepas dimaklumkan SPRM semalam dan tidak mempunyai risiko melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Sooi Keng berkata jaminan ditawarkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi memandangkan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan sudah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai penggubah bunga, namun namanya masih direkodkan sebagai salah seorang pengarah di syarikat itu,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM1.5 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.