MH Online

Laman Suara Rakyat

Strategi Lawan Covid Akan Diperhebat

Strategi Lawan Covid Akan Diperhebat

KUALA LUMPUR, Pelbagai strategi akan dilaksanakan bermula awal Ogos ini dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negara ini.

Salah satunya adalah mempercepatkan pemberian vaksinasi menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti secara terus atau ‘walk in’ di Lembah Klang bermula 2 Ogos bagi mereka yang belum memperoleh janji temu.

Bermula Isnin ini, golongan berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbid boleh mendapatkan suntikan vaksinasi secara ‘walk in’, disusuli pada 5 Ogos untuk individu berumur 18 tahun ke atas yang juga boleh mendapatkan suntikan pelalian secara terus.

Pendekatan secara ‘walk in’ bagaimanapun hanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu di Lembah Klang. Di Pulau Pinang, warga emas di negeri itu boleh menerima vaksin COVID-19 secara ‘walk in’ di empat PPV yang dikenal pasti mulai 2 Ogos.

Selain strategi vaksinasi, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan penjujukan genom bagi varian COVID-19 secara konsortium dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai Ogos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang mengumumkan perkara itu, berkata ia tidak lain bagi meningkatkan kapasiti surveilan genom COVID-19 dengan peruntukan RM3 juta membabitkan 3,000 sampel dalam masa tiga bulan.

Sebagai persediaan menampung kemungkinan lonjakan kes jangkitan COVID-19, terdapat beberapa negeri mengambil langkah membuka tambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), membabitkan tambahan sebuah PKRC di Kedah dan lapan lagi di Kelantan bermula Ogos.

Mulai 5 Ogos, Fasa Dua Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) akan berlangsung membabitkan 55,000 pekerja binaan, masing-masing 30,000 di Pulau Pinang dan 25,000 di Johor.

Pelaksanaan undang-undang menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kali pertama diwartakan pada Mac tahun lalu dan digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan COVID-19 turut berfungsi sebagai ‘senjata’ mengekang penularan wabak di negara ini.

Meskipun Ordinan Darurat dibatalkan atau Proklamasi Darurat ditamatkan, ia tidak akan memberi kesan terhadap usaha kerajaan mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

Semakan BH pada laman sesawang Pejabat Peguam Negara mendapati Warta Kerajaan Persekutuan bagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) itu diwartakan pada 22 Julai lalu.

Menurut warta itu, penguatkuasaan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berakhir pada 1 Ogos lalu, akan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga 31 Disember 2021.