Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > STI Pacu Kemajuan Ekonomi Negara

STI Pacu Kemajuan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) berperanan sebagai pemacu kepada kemajuan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia perlu memastikan pertumbuhan segera dalam pelaburan perniagaan yang memanfaatkan sektor sains dan teknologi.

Beliau berkata, sektor ekonomi baharu perlu dikenal pasti dan dibangunkan untuk menjamin kemakmuran dan kestabilan negara berdepan Revolusi Industri 4.0.

“Projek kereta nasional ketiga akan menjadi permulaan yang baik untuk melaksanakan beberapa strategi yang dicadangkan dalam dasar STI,” katanya merujuk kepada pelancaran Dasar Kebangsaan Industri 4.0, baru-baru ini.

Beliau berucap pada Anugerah Felo dan Anugerah 24 Saintis Terbaik 2018, anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Cuaca (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis; Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Dr Mahathir berkata Malaysia sudah bertukar daripada negara berasaskan ekonomi agrarian kepada ekonomi industri, melalui perkhidmatan dan pembuatan, yang menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Daripada 21 industri di Malaysia, industri automotif diklasifikasikan sebagai peneraju utama kerana tahap pengetahuan dan keupayaan inovasi yang dibina sejak bertahun-tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau menyambut baik usaha ASM yang menyokong inisiatif pembuatan kereta nasional.

“Saya harap mereka (ASM) akan memudahkan pendekatan rangkaian kerjasama dan bekerjasama dengan rakan lain untuk memberikan input ke arah usaha membina projek kereta kebangsaan (ketiga negara ini) direalisasikan,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir menegaskan, jurang antara Malaysia dan negara maju semakin meluas dan usaha untuk menyaingi negara itu semakin mencabar.

“Negara di peringkat pembangunan yang sama seperti Malaysia secara intensif membangun ekosistem inovasi mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dilantik sebagai Felo Kanan ASM, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luas ke arah pembangunan bidang ICT di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan peranannya sebagai ahli strategi dalam pembangunan dasar negara.

Leave a Reply

Top