Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > SPRM Tidak Pilih Bulu Dalam Siasatan

SPRM Tidak Pilih Bulu Dalam Siasatan

PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan memilih bulu dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah termasuk yang membabitkan parti politik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini, sistem keadilan jenayah di Malaysia berpaksikan kepada tiga pengasingan kuasa iaitu penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman.

Beliau berkata, tugas suruhanjaya itu sebagai agensi yang menjalankan penguatkuasaan ialah menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Katanya, keputusan untuk menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes juga bukan diputuskan satu pihak semata-mata, sebaliknya melalui mesyuarat harian yang dianggotai ramai pegawai.

“Kita tidak pilih bulu. Kita buat siasatan sekiranya terima maklumat mengenai kejadian rasuah. Namun, apa yang terjadi, perkara yang berlaku di peringkat mahkamah juga dikaitkan dengan SPRM.

“SPRM menjalankan siasatan tanpa mengira warna parti politik, tidak kira parti politik biru, merah atau hijau, selagi kita terima laporan, kita akan siasat,” katanya ketika ditemubual stesen radio MACC.fm yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook, pagi ini.

Justeru, Shamshun berkata, tidak timbul dakwaan bahawa SPRM menjadi kuda tunggangan parti politik.

Shamshun berkata, mana-mana pihak yang mahu siasatan kes rasuah dijalankan SPRM perlu memastikan mereka memberi perincian kes bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Leave a Reply

Top