MH Online

Laman Suara Rakyat

SPRM Tidak Lagi Beku Akaun Saham Arul Kanda

SPRM Tidak Lagi Beku Akaun Saham Arul Kanda

KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi membeku dua akaun saham (CDS) milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Sivananthan memberitahu mahkamah, proses terhadap dua akaun saham milik anak guamnya dilakukan semalam.

Sehubungan itu, permohonan Arul Kanda bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk tidak membeku dua akaun itu ditarik balik.

“Pihak pemohon (Arul Kanda) memfailkan permohonan itu pada 19 Ogos lalu. SPRM bagaimanapun sudah menyahbeku dua akaun saham pemohon.

“Justeru, pihak kami (pemohon) menarik balik permohonan bagi mendapatkan perintah supaya SPRM selaku responden untuk menyahbeku akaun berkenaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed mengesahkan perkara itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membatalkan permohonan berkenaan.

Pada 12 Julai 2018, sembilan akaun milik Arul Kanda dibekukan pihak SPRM selepas beliau dikaitkan dengan penyelewengan wang 1MDB.

Sembilan akaun itu masing-masing termasuk tujuh akaun persendirian manakala dua lagi CDS.

Sivananthan ketika ditemui di luar mahkamah, berkata, tujuh akaun persendirian itu sudah tidak dibeku lebih awal.

“Sejak dua akaun saham itu dibekukan, tiada sebarang tindakan undang-undang seperti pendakwaan diambil terhadap pemohon sepanjang 12 bulan ini,” katanya.

Terdahulu, dalam permohonannya, Arul Kanda berkata, pembekuan akaun yang dikeluarkan responden mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 adalah tidak sah.

Dalam permohonan itu antara lain, akaun CDS individu dan perdagangan dengan saham masing-masing berjumlah 700,000 nexgram dan 18,000,500 nexgram dilepaskan segera.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.