MH Online

Laman Suara Rakyat

SPRM Mula Siasatan Dewan Terbuka Bagan Datuk

KOTA BHARU, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan hari ini berhubung tuntutan kos pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, Perak, yang didakwa tidak setimpal dengan hasil dibina.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata arahan dikeluarkan kepada Pengarah SPRM Perak supaya dibuat siasatan sama ada terdapat unsur rasuah atau salah guna kuasa.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan dokumen lengkap daripada pihak tertentu yang terbabit dalam projek berkenaan, seterusnya meneliti isu yang timbul.

“Kita akan melihat secara terperinci dalam masa dua atau tiga hari dan biasanya dalam isu sebegini, kita perlu meneliti dokumen terlebih dulu.

“Pegawai SPRM akan kaji dokumen dan akan mula panggil saksi, cuma kami belum boleh kemas kini lagi atau panggil saksi kerana baru mulakan siasatan,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan mesyuarat sempena lawatan kerjanya bagi melihat prestasi yang dicapai warga SPRM Kelantan, di sini, hari ini.

Sabtu lalu di Bagan Datuk, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kecewa dengan pembinaan dewan terbuka sekolah terbabit ketika majlis perasmiannya.

Pembinaan dewan terbabit disifatkannya terlalu banyak kekurangan berbanding kos pembinaan sebanyak RM600,000 yang menggunakan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).