MH Online

Laman Suara Rakyat

SPRM Gagal Lucut Hak RM4.6 Juta Milik Mediaedge

SPRM Gagal Lucut Hak RM4.6 Juta Milik Mediaedge

KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal dalam permohonannya melucut hak wang RM4,631,602 yang sita daripada akaun Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, menolak permohonan itu selepas mendapati SPRM gagal membuktikan bahawa wang itu ialah hasil daripada aktiviti haram.

“Dalam keadaan ini, SPRM gagal menyangkal satu nyataan khusus yang dibuat Mediaedge. Oleh yang demikian, saya mendapati SPRM telah gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian, bahawa wang sejumlah RM4,631,602 dalam akaun HSBC Mediaedge itu ialah hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Ahmad Shahrir berhujah, permohonan pelucuthakkan harta bukan satu mekanisme untuk mendesak pihak yang telah menerima wang yang dipertikaikan untuk memulangkan atau membayar kembali wang yang tidak lagi berada dalam milikan atau akaun mereka akibat telah dibelanjakan.

“Wang yang boleh dilucuthakkan mengikut Seksyen 56 Akta 613 ( Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) mestilah wang yang telah terdahulunya disita atas sebab ia seperti dalam kes ini merupakan hasil aktiviti haram.

“Sekiranya wang yang disita itu pada hakikatnya bukanlah merupakan hasil aktiviti haram, undang-undang tidak membenarkan ia dilucut hak.

“Saya mendapati, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa permohon (SPRM) telah gagal membuktikan syarat-syarat di bawah Seksyen 56 (2)(a)(iii) dan syarat penghubung di bawah Seksyen 56(2)(b) Akta 613. Oleh yang demikian, saya menolak permohonan SPRM,” tegasnya.

Ahmad Shahrir berkata, Mediaedge ialah satu entiti perniagaan sah yang menjalankan perniagaan sebagai penyedia perkhidmatan perhubungan media yang bersesuaian bentuk perniagaan yang dijalankannya.

“Saya dapati, Mediaedge telah menyediakan perkhidmatan media dalam perjalanan biasa perniagaannya dan amaun sejumlah RM4,631,602 itu dibayar untuk perkhidmatan yang disediakan di bawah perjanjian itu.

“Mediaedge menggunakan wang yang diterima ini untuk membuat bayaran kepada pemilik-pemilik media tersebut bagi slot media dan masa yang dibeli oleh ORB (ORB Solutions Sdn Bhd pengendali media sosial) di bawah perjanjian perkhidmatan media itu,” katanya.

Beliau berkata apabila akaun Mediaedge dibekukan pada 29 Jun 2018, iaitu lebih lima tahun kemudiannya, baki akaun Mediaedge mempunyai amaun sejumlah RM9,583,292.39, bagaimanapun amaun ini merupakan bayaran daripada pihak lain dan bukan daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perkara ini dinyatakan secara khusus dalam afidavit Mediaedge, malangnya SPRM dalam afidavitnya hanya menyatakan ia tidak mempunyai pengetahuan mengenainya tanpa membuat sebarang sangkalan yang khusus,” katanya.

“Mediaedge tergolong dalam kategori pembelian suci hati dengan balasan bernilai bagi amaun RM4,631,602 tersebut. Dalam keadaan ini, SPRM telah gagal, atas imbangan kebarangkalian untuk membuktikan syarat di bawah Seksyen 56(2)(b) Akta 613,” kata Ahmad Shahrir.

Selepas hakim membaca keputusan, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nik Haslinie Hashim, berkata pihaknya akan memfailkan permohonan penangguhan pelepasan wang sitaan kepada pihak responden dan pihak mahkamah mengambil maklum perkara itu.

Mediaedge diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Michelle Chew Kim Lian.