MH Online

Laman Suara Rakyat

SPRM Gagal Gantung Keputusan Lucut Hak Wang Milik BN Johor Bahru

SPRM Gagal Gantung Keputusan Lucut Hak Wang Milik BN Johor Bahru

KUALA LUMPUR, Pihak pendakwaan hari ini gagal menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang berjumlah RM957,395.65 daripada Barisan Nasional (BN) Johor Bahru dan dua lagi.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk menggantung pelaksanaan keputusan itu ke atas BN Johor Bahru; Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; dan Bendaharinya, Raihan Baba.

Wang itu, yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dipercayai ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam prosiding, hari ini.

“Setelah meneliti permohonan pemohon (pendakwaan) dan mempertimbang hujah-hujah, saya mendapati bahawa permohonan ini tidak menepati maksud Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah. Saya dengan ini menolak permohonan itu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaidi, berkata pihaknya memohon mahkamah membenarkan penggantungan itu sementara menunggu rayuan selesai.

Peguam, Syahrul Syazwan Salehin pula berkata jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ia bermakna mahkamah berpaling daripada dapatannya sendiri ketika menolak permohonan lucut hak.

“Kedua, mahkamah akan membiarkan satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang apabila membiarkan harta responden terus ditahan secara tidak sah,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang daripada ketiga-tiga responden.