MH Online

Laman Suara Rakyat

SPRM Akan Semak Semula Kes Kontroversi

SPRM Akan Semak Semula Kes Kontroversi

GEORGE TOWN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dan menyemak semula beberapa kes yang mendapat perhatian masyarakat, termasuk kes membabitkan orang kenamaan (VIP).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata proses itu bagaimanapun mungkin mengambil masa, selain SPRM perlu melihat kembali bagaimana kes berkenaan diselesaikan.

“Saya dimaklumkan ada banyak kes kontroversi, bukan hanya di Pulau Pinang malah di beberapa negeri lain seperti Sarawak dan Selangor.

“Saya sedang meneliti semula (kes terbabit) dan saya perlukan masa untuk lihat semula kes yang dapat perhatian orang awam dan VIP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Azam Baki melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.

Dalam pada itu, Latheefa berkata, SPRM tidak melihat sebarang keperluan untuk pihaknya membuka semula kes rasuah banglo membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan itu dianggap sudah selesai berikutan ia sudah diputuskan mahkamah pada tahun lalu.

“Bagi saya, kes itu sudah diputuskan mahkamah dan sudah selesai.

“Tidak masuk akal untuk kita buka balik kes berkenaan kecuali terdapat bukti baharu atau terdapat unsur yang salah dalam proses di mahkamah,” katanya.

September lalu, Guan Eng dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.