Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi dari Kementerian Sumber Manusia bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata beberapa lagi saksi dan individu dipanggil bagi memberi keterangan kerana pada kebiasaannya keputusan sesuatu tindakan oleh kementerian tidak dibuat bersendirian.

“Sudah tentu akan ada (saksi dan individu dipanggil beri keterangan) sebab segala dokumen berada di sana (kementerian) dan keputusan bukan babitkan seorang sahaja dan kita akan panggil mereka untuk lengkapkan siasatan.

“Pagi tadi, SPRM panggil menteri berkenaan untuk dirakam percakapan dan kita akan teliti lagi keterangan daripada setiausaha politik dan menteri.

“Sekiranya ada keperluan, kita akan panggil saksi lain yang berkaitan untuk bantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR ’17) Sempena Ulang Tahun Penubuhan BPR/SPRM ke-50 dan Majlis Perasmian Mural Pencegahan Rasuah SPRM Perak di Bangunan SPRM Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pagi tadi, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan PTPK.

Semalam, setiausaha politiknya direman enam hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan RM40 juta untuk PTPK.

Pada 14 September lalu, empat individu termasuk Ketua Eksekutif PTPK bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *