MH Online

Laman Suara Rakyat

SPR Tidak Lagi Wujud

SPR Tidak Lagi Wujud

CAMERON HIGHLANDS, Segala tindakan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang boleh dikira terbatal.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata ini kerana SPR sekarang hanyalah sebuah suruhanjaya yang digerakkan seorang individu iaitu Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, peletakan jawatan Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli lain pada 31 Disember lalu menjadikan SPR dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi Perlembagaan.

“Ini kerana SPR, seperti mana di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah terdiri daripada tujuh ahli iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain atau sekurang-kurangnya empat ahli .

“SPR menurut Perlembagaan tidak boleh wujud dengan komposisi hanya dengan seorang pengerusi. Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori,” katanya pada sidang media di Tanah Rata di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, keadaan itu secara tidak langsung menggambarkan SPR mengetepikan peraturan perundangan yang menjadi tiang seri paling asas dalam sistem demokrasi negara.

“Asas kepada sebuah negara bangsa adalah Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah suatu buku peraturan yang menentukan batasan dan skop bidang kuasa yang kerajaan ada terhadap rakyatnya.

“Hari ini saya difahamkan SPR akan bermesyuarat bagi memutus dan mengeluarkan writ bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih berikutan kematian wakil rakyatnya.

“Satu persoalan yang sangat asas, dari segi undang-undang berbangkit, apakah SPR itu wujud secara teratur dan selari dengan kehendak undang-undang Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ditanya adakah ia bermaksud segala keputusan SPR selepas ini tidak sah dari sudut undang-undang, Annuar enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada pihak berkuasa.

“Apa yang saya tekankan dan sebutkan hari ini adalah selepas berbincang dengan lima orang peguam kanan sejak dua hari lalu dan mereka juga berasakan demikian,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, bersama empat Ahli SPR, Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong, memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sementara itu, seorang lagi Ahli SPR, Datuk Bala Singam Karupiah, juga dipercayai sudah tamat perkhidmatannya.

Menurut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, yang memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa 1 Julai 2018.