Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > SPR Tidak Ambil Kira Syor Dikemukakan BN Selangor

SPR Tidak Ambil Kira Syor Dikemukakan BN Selangor

SHAH ALAM, Barisan Nasional (BN) Selangor membantah cadangan kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata kajian yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan, selain tidak mengambil syor dikemukakan BN Selangor.

“Sebagai contoh, dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) ada tiga Parlimen iaitu Kapar yang mempunyai 146,000 pengundi, Kota Raja (110,000) dan Klang (98,000).

“Persoalannya kenapa bilangan pengundi Klang sedikit sedangkan ia kawasan bandar. MPK juga ada sembilan DUN, manakala DUN Meru, Sementa, Selat Klang dan Sungai Pinang di bawah Parlimen Kapar.

“DUN Sri Andalas, Sri Muda (Kota Raja) dan Pelabuhan Klang, Pandamaran serta Kota Alam Shah (Klang). Kita melihat agihan pengundi tidak adil dan tidak setara. SPR dilihat masih di takuk lama walaupun bantahan sudah dibuat,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Noh turut mempersoalkan Parlimen Kelana Jaya yang mempunyai DUN Seri Setia dan Subang Jaya, namun berada di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza.

“DUN Seri Setia di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tetapi DUN Subang di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Perkara sebegini perlu diteliti SPR,” katanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua Parlimen dan DUN untuk membuat kajian terperinci mengenai cadangan persempadanan semula di kawasan masing-masing.

“Tempoh bantahan berakhir pada 14 Februari depan. Jadi, kita ada masa untuk menyemak sebelum mengemukakan bantahan kepada SPR.

“Namun, kita buat bantahan dengan cara elok mengikut saluran betul, bukannya terpekik membuat demonstrasi dan perhimpunan haram,” katanya.

Leave a Reply

Top