MH Online

Laman Suara Rakyat

SPR Belum Terima Pemakluman Rasmi Pembubaran PPBM

PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berkepentingan berhubung perintah pembubaran sementara terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata adalah tidak wajar untuk SPR mengulas perkara itu dengan lebih lanjut memandangkan terdapat kes melibatkan isu itu di mahkamah.

“Berhubung keputusan RoS membubarkan sementara PPBM hari ini, SPR menjelaskan bahawa urusan pendaftaran, penggantungan dan pembubaran sesebuah parti politik yang telah berdaftar adalah dalam bidang kuasa RoS.

“Oleh itu SPR tidak dapat memberi sebarang komen hanya berdasarkan laporan akhbar kerana belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

RoS hari ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPPBM, memberikan parti itu tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim dipetik sebagai berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

Katanya PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Feb.