Anda di sini!
Utama > Hiburan > Spider Masih Utuh Selepas 2 Dekad

Spider Masih Utuh Selepas 2 Dekad

KUALA LUMPUR, Walaupun setiap anggotanya diberi kebebasan mengembangkan bakat secara solo, keutuhan kumpulan Spider tidak pernah goyah apabila mereka masih bertahan selepas dua dekad bersama.

Mengulas perkara itu, Tam, 45, yang juga vokalis dan pemain gitar kumpulan itu berkata, selepas 20 tahun, pasti ada perkara yang ingin mereka terokai secara peribadi.

“Saya percaya Spider berpegang teguh kepada tali silaturahim sejak mula kami berhijrah ke ibu kota hingga mencapai tahap ini. Itu yang kami cuba kekalkan.

“Keputusan ini dibuat untuk memberi ruang kepada setiap anggota menyerlahkan kemampuan masing-masing. Kami masih membuat persembahan bersama, cuma jarang mendapat liputan.

“Mungkin kerana itu, ada yang beranggapan Spider sudah berpecah. Spider masih kukuh, cuma kebelakangan ini kami tidak mahu lagi terlalu terikat dengan band,” katanya.

Mengambil contoh dirinya, Tam berkata, selain menghasilkan lagu untuk penyanyi lain, dia juga mempunyai perancangan untuk menjayakan projek solo.

“Saya tidak pernah menghalang anggota Spider yang lain untuk mencorakkan perjalanan mereka sendiri,” katanya yang menjayakan showcase Spider dan Lampu Ajaib di sini, Jumaat lalu.

Tidak menafikan, mereka juga pernah berselisih faham, Tam berkata, ikatan persahabatan yang sudah lama dibina menguatkan semula hubungan kumpulan yang turut dianggotai Nafie (gitar), Aie (dram) dan Iss (bass) itu.

Justeru, apabila Tony mengambil keputusan mengundurkan diri, mereka tidak menghalang kerana memahami kemahuannya.

“Ia berlaku bukan kerana kami berselisih faham, sebaliknya atas permintaan Tony sendiri. Sebagai anggota kumpulan, mereka tidak menghalang, malah menghormati keputusannya.

“Setiap kumpulan pasti konflik tersendiri, begitu juga Spider. Kami anggap itu sebagai sebahagian daripada proses kerja dan tidak menyimpannya di sudut hati.

“Dalam kumpulan, bersatu hati penting selain memahami perasaan antara satu sama lain,” katanya yang bergerak solo atas nama Tam Mustafah.

Leave a Reply

Top