MH Online

Laman Suara Rakyat

SP Setia Lancar Perbandaran Setia Eco Templer Dengan GDV RM2 Bilion

Pemaju hartanah, SP Setia Bhd Group akan melancarkan perbandaran baharu, Setia Eco Templer pada bulan depan, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.

Terletak di bekas tapak Kelab Golf Perangsang Templer di Templer Park, di sini, perbandaran seluas 7.69 hektar itu akan terdiri daripada kediaman dan hartanah komersial, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Khor Chap Jen.

“Pelan induk untuk Setia Eco Templer menampilkan reka bentuk seni bina bertemakan Inggeris, Bali atau Peranakan. Ia akan mengambil masa kira-kira tujuh tahun untuk siap dari tarikh pelancaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian kemudahan perbankan bernilai RM315 juta dengan AmBank Group di sini Isnin.

AmBank, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir, turut memberi pinjaman berjangka modal kerja bernilai RM200 juta kepada SP Setia untuk projek tersebut.

Kemudahan perbankan itu akan melancarkan fasa pertama pelan induk pembangunan perbandaran, yang termasuk villa, rumah berkembar, banglo dan pangsapuri mampu milik, disokong oleh rumah kelab, untuk memenuhi keperluan riadah penduduk.

Pembinaan fasa pertama disasarkan bermula pada Jun dengan GDV dianggarkan sebanyak RM400 juta.

SP Setia akan membina persimpangan bernilai RM25 juta yang menghubungkan secara terus ke Jalan Ipoh-Rawang, untuk komuniti Setia Eco Templer. Ia akan siap selepas penyerahan pemilikan kosong fasa pertama Setia Eco Templer.